Imam at-Tirmidzi

Bismillahir Rahmanir Rahiim

Imam adz-Dzahabi dalam “at-Tadzkirah” dan Imam Ibnu Hajar dalam “at-Tahdzib” menaqalkan daripada Abu ‘Ali Manshur bin ‘Abdullah al-Khaalidi akan pernyataan Imam at-Tirmidzi berhubung karangannya “Jami` at-Tirmidzi” atau “Sunan at-Tirmidzi” di mana beliau berkata:- “Setelah aku karang akan kitab ini, maka ianya kubentangkan kepada para ulama Hijaz, ‘Iraq dan Khuraasaan, lalu mereka redha dengannya (yakni mereka merestui isi kandungannya), dan sesiapa yang ada di rumahnya akan kitab ini, maka seolah-olah dalam rumahnya Junjungan Nabi s.a.w. sedang berbicara.”

Inilah perkataan Imam Abu ‘Isa at-Tirmidzi dalam rangka tahadduts li ni’matIllah yakni melahirkan ni’mat Allah atas dirinya setelah diizinkanNya untuk menyelesaikan “Jami` at-Tirmidzi” atau “Sunan at-Tirmidzi”, karangan hadits yang amat bermanfaat bagi umat. Sungguh kitabnya itu amat bernilai di sisi umat, kitab yang dimartabatkan oleh umat sebagai antara rujukan utama. Dinyatakan dalam “Kasyfudhz Dhzunuun” bahawa al-“Jami` ash-Shohih” bagi Imam at-Tirmidzi adalah kitab yang ketiga dari Kutubus Sittah dalam ilmu hadits. Imam Ibnu Atsir pula dalam Tarikhnya menyatakan bahawa Imam at-Tirmidzi adalah seorang Imam Hafidz yang mempunyai berbagai karangan yang bermutu, antaranya ialah “al-Jami` al-Kabiir” yang mana ianya adalah sebaik-baik kitab. Manakala Imam Abu Ismaa`iil ‘Abdullah bin Muhammad al-Anshaari berhubung “Jami` at-Tirmidzi” menyatakan pandangannya seperti berikut:- “Kitabnya di sisiku lebih besar manfaat daripada kitab Imam al-Bukhaari dan Imam Muslim, kerana kedua-dua kitab tersebut faedahnya tercapai hanya bagi orang ‘alim yang melaut ilmunya (mutabahhir) (yakni orang yang betul-betul dapat mengambil manfaat daripada kitab Bukhaari dan Muslim adalah seorang yang benar-benar alim), dan kitab Imam Abu ‘Isa sampai faedahnya kepada setiap orang.”

Sungguh Imam at-Tirmidzi adalah seorang ulama dan muhaddits yang tsiqah, yang dapat dipegang akan perkataannya. Para muhadditsin terdahulu telah menyatakan kesaksian mereka atas hal ini. Imam as-Sam`aani dalam “al-Ansaab” mensifatkan beliau sebagai salah seorang Imam yang dijadikan panduan dalam ilmu hadits. Imam al-Mizzi pula mensifatkan beliau sebagai salah seorang Imam hadits berdarjat hafidz (yakni menghafal sekurang-kurang 100,000 hadits dengan sanad) yang cemerlang di mana Allah telah memberi manfaat dengan beliau akan umat Islam. Imam adz-Dzahabi dalam “al-Miizaan” pula menyatakan bahawa Imam Abu ‘Isa at-Tirmidzi adalah tonggaknya para hafidz yang tsiqah dengan ijma’ para ulama muhadditsin.

Ukuran kehebatan beliau bukan sahaja terletak pada kesarjanaannya dan keilmuannya semata-mata, tetapi akhlak dan pribadi serta kewarakannya pun memuncak tinggi. Muhaddits Khuraasaan al-Imam al-Hafidz al-Hakim Abu Ahmad Muhammad bin Muhammad bin Ahmad bin Ishaaq an-Nisaabuuri menukilkan perkataan salah seorang gurunya yang menyatakan bahawa setelah kewafatan Imam Muhammad bin Ismaa`iil al-Bukhaari tidak ada yang menggantikannya di Khuraasaan seperti Imam Abu ‘Isa at-Tirmidzi dalam keilmuan, penghafazan, kewarakan dan kezuhudan, Imam at-Tirmidzi selalu menangis kerana takutkan Allah s.w.t. sehingga matanya buta. Imam at-Tirmidzi merupakan murid kepada Imam al-Bukhaari di mana Abu al-Fadhl al-Bailamaani menyatakan bahawa dia mendengar Nashr bin Muhammad asy-Syairkuuhi berkata bahawa dia mendengar Imam at-Tirmidzi menyatakan bahawa gurunya Imam al-Bukhari pernah berkata kepadanya:- “Tidaklah aku menjadi manfaat bagimu lebih daripada engkau menjadi manfaat bagiku.” Inilah kesaksian guru beliau Muhaddits Agung Imam al-Bukhaari terhadap dirinya.

Ini antara sanjungan para ulama terhadap Imam at-Tirmidzi dan kitab haditsnya tersebut. Sungguh perkataan dan ijtihad Imam Besar ini dalam menetapkan darjat sesuatu hadits hendaklah masuk dalam perkiraan kita dan dihormati jikapun tidak diikuti. Mari kita hadiahkan bacaan al-Fatihah buat Imam at-Tirmidzi yang banyak jasa kepada umat serta lain-lain ulama dan muhadditsin…..al-Fatihah.

Alhamdulillahi Rabiil alamin